Halaman

Ahad, 29 Jun 2014

Khasiat & Kelebihan Buah Betik


Buah betik adalah buah yang baik sekali untuk dimakan ketika kita sakit mahupun sihat. Selain dari sumber makanan yang murah dan senang didapati, buah betik juga mengandungi khasiat yang tinggi. Boleh dikatakan buah betik mengandungi hampir semua zat makanan yang diperlukan bagi kesihatan tubuh kita.

Betik adalah daripada spesies Carica papaya dan berasal dari keluarga caricaceae. Buah Betik juga kaya dengan zat vitamin C. Malahan kandungan vitamin C dalam buah betik adalah lebih tinggi dari yang terdapat di dalam buah limau. Setengah biji buah betik yang sederhana saiznya dapat membekalkan kita 100% keperluan vitamin C dalam sehari,

Buah betik juga mengandungi zat vitamin A dan berbagai jenis zat vitamin B seperti Riboflavin, zat folate dan cryptoxanthin. Zat ini adalah sejenis carotene yang menghasilkan warna bagi isi buah betik. Unsur ini amat penting sekali bagi kesihatan jantung kita kerana ia dapat melindunginya daripada kerosakan.

Selain zat vitamin, buah betik juga mengandungi serat, zat protein dan enzim papain. Enzim papain adalah unsur yang amat berkesan dalam proses penghadaman makanan.

KEBAIKAN BETIK

1) Sebagai tonik tambahan

Memakan buah betik setiap hari dapat menambahkan tenaga badan dan menjadi sumber pembersih perut yang amat berkesan. Ia amat mujarab bagi menyembuhkan berbagai-bagai gangguan perut dan penghadaman makanan. Jus buah betik ranum, jika dicampur dengan susu dan madu boleh menjadi tonik yang tinggi khasiatnya bagi kanak-kanak yang sedang membesar, wanita yang sedang hamil, wanita yang menyusukan dan kepada mereka yang lemah tenaga kerana sakit.

2) Ubat bagi sembelit dan bawasir

Jika mengalami sembelit cubalah memakan betik. Ia murah lagi selamat. Betik juga penawar yang ideal bagi penyakit bawasir berdarah, Malah menurut para doktor dengan mengamalkan memakan beberapa potong buah betik selepas makan, bukan saja dapat membantu penghadaman makanan serta membekalkan berbagai-bagai vitamin, zat galian dan serat yang kita perlukan, bahkan dapat menjauhkan kita daripada cacing pita dan kerawit di dalam perut. Ini kerana betik mengandungi unsur yang disebut ‘ anthelmintic’ yang dapat membunuh kuman.

3) Mencegah terjadinya batu di dalam pundi kencing

Sebahagian doktor dan pakar pemakanan mengatakan bahawa buah betik ranum jika dicampur dengan madu asli adalah baik bagi sesiapa yang tidak lawas kencing dan menghidap berbagai-bagai masalah pada sistem kencingnya. Dengan membuang air kecil secara baik, dapat menghindarkan kita dari mendapat masalah batu pada pundi kencing kita.

Pendek kata, betik adalah tonik ideal serta murah jika kita ingin mengekalkan kesihatan jantung, hati, otak, saraf dan darah kita.

Buah Betik ataupun nama saintiknya Carica Papaya L adalah sejenis tumbuhan saka yang mempunyai batang kayu yang lembut, tegak dan biasanya tidak mempunyai cabang. Pokok betik juga mempunyai pelbagai khasiat. Betik juga sangat berkhasiat jika dimakan.

Di samping itu berikut adalah khasiat lain buah betik;
  • Buah betik yang masak selain kaya dengan vitamin C, ia berkesan merawat hemoroid atau buasir dan sembelit.Makan buah betik boleh memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan sembelit.
  • Daun betik terutama pucuknya yang muda sering direbus untuk dijadikan ulam. Selain itu, air rebusan daun betik dapat melegakan perut dengan mengeluarkan segala angin.
  • Jika memanggang daging yang dibalut dengan daun betik, ia dapat melembutkan daging tersebut.
  • Bagi merawat masalah kulit seperti jerawat dan masalah kedutan, hancurkan buah betik tersebut. Kemudian tampalkan di tempat yang bermasalah setengah jam sebelum mandi.
  • Di Ghana ia juga digunakan untuk mengubati ketumbuhan manakala pucuknya boleh mengubati penyakit tekanan darah tinggi.
  • Betik juga boleh digunakan untuk mengubati tumit pecah-pecah yang boleh menyebabkan kaki terasa sakit. Salah satu daripada rawatan tradisional bagi mengubati masalah ini ialah dengan menggunakan buah betik muda yang dibelah dua kemudian diambil getahnya dan sapu dibahagian tumit yang pecah.

Khamis, 5 Jun 2014

Bendi mampu cegah obesiti, diabetes

OLEH: NAJJEEHA A HADI 






Bendi, juga dikenali sebagai lady finger adalah salah satu daripada sayur-sayuran sangat berkhasiat, biasanya dimakan ketika buahnya berwarna hijau, lembut, dan belum matang.

Tumbuhan berbunga ini berasal dari keluarga Malvaceae (Mallows) dan dinamakan secara saintifik sebagai abelmoschus esculentus.

Tanaman ini banyak ditanam di negara-negara yang beriklim panas lembap. Kebanyakan bendi diguna segar sebagai sayuran (segar mentah, rebus atau goreng) dan dibuat jeruk.

Biji bendi boleh dibuat serbuk kopi sementara daunnya untuk makanan ruminan dan batangnya diproses jadi serat.
Buah bendi didapati kaya dengan 90% air, 7% karbohidrat, 2% protein dan 1% serat, garam galian dan vitamin, terutamanya vitamin B.

Bendi juga merupakan sejenis buah yang paling kaya dengan kandungan kalsium.

Sebenarnya biji sayur bendi boleh dijadikan sebagai alternatif kepada kopi. Baik bagi mereka yang ingin mengelakkan kafein dalam kopi. Daun sayur bendi juga boleh dimakan sebagai sayur.

Kandungan serat yang tinggi di dalam buah bendi telah dibuktikan melalui beberapa kajian saintifik.

Oleh itu, ramai pakar kesihatan mencadangkan pengambilan bendi bagi menyamankan sistem pencernaan di dalam badan kita.

Ini kerana, bendi kaya dengan gentian yang membantu proses pencernaan di dalam badan dengan membantu pergerakan usus dengan betul.
  
Seterusnya ialah bendi dapat mencegah penyakit diabetes. Tanaman ini di kenali untuk membantu dalam pencegahan penyakit kencing manis. Ianya kaya dengan gentian yang membantu dalam pencegahan penyakit ini.

Oleh itu, amatlah disarankan agar pengambilan bendi di dalam pemakanan kita agar dari awal dapat mencegah penyakit ini.

Bendi juga mempunyai kandungan vitamin B12 iaitu folates. Folates umumnya diperlukan bagi wanita yang mengandung bagi menjaga kesihatan bayi.

Ini kerana folates telah diyakini dapat mengurangkan kecacatan tiub neural bayi yang baru dilahirkan. Jadi bendi amatlah disyorkan untuk wanita dalam tempoh konsep pralahir atau mengandung.

Selain itu, kandungan vitamin K di dalam bendi juga amat penting bagi tubuh kita. Vitamin K merupakan komponen utama dalam proses pembekuan darah. Vitamin K juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan tulang dalam badan kita.

Penggunaan bendi, sama ada dalam bentuk mentah atau dimasak, boleh mengelakkan obesiti kepada tahap yang hebat.

Ini kerana tidak ramai yang tahu bahawa obesiti tidak semestinya disebabkan oleh pengambilan makanan yang berlemak dan berkalori tetapi juga disebabkan oleh kekurangan nutrient dalam badan.

Bendi yang kaya dengan nutrien dapat mengekalkan keseimbangan zat di dalam badan kita hingga obesiti dapat dicegah.

Bagi pesakit jantung dan pesakit yang mempunyai tekanan darah yang tinggi, pengambilan bendi amatlah disarankan kerana sayuran buah ini dapat memastikan penyerapan yang lebih rendah kolesterol sekali gus dapat mencegah penyakit jantung dan penyakit yang berlaku disebabkan oleh kolesterol dalam darah.

Kolesterol adalah kandungan utama dalam badan yang mencetuskan obesiti dan penyakit jantung.
  
Bendi juga dikenalpasti dapat merawat pelbagai penyakit iaitu antaranya termasuklah merawat asma, mencegah kanser kolon dan sembelit. Bendi merupakan sayuran buah yang mudah didapati di mana sahaja.

Marilah kita mengamalkan gaya hidup sihat dengan memulakan pengambilan bendi ke dalam makanan seharian kita.

Alam: Tumbuhan
Divisi: Magnoliophyta
Kelas: Magnoliopsida
Order: Malvales
Keluarga: Malvaceae
Genus: Abelmoschus
Spesies: A. esculentus
Nama binomial: Abelmoschus esculentus

(*)  Penulis ialah pelajar Bachelor of Pharmacy, Universitas Padjadjaran, Bandung, Indonesia.