Halaman

Rabu, 23 Oktober 2013

Cuba sendiri !....Acar buah.



Teringin sangat nak makan ACAR BUAH... yang dibeli dikedai selalu tak memenuhi selera saya. Kadang-kadang tak ada rasa (rasa saya lah, rasa orang lain tak tahu lah pulak), kadang-kadang tu rasa tomato. Ada pula tu buah sikit sangat.. emm memang lah.. saya pun paham, buah bukannya murah !. ''

OK lah kita buat sendiri aja. Sekali buat dapat 1 periuk hehehe...

Resepi ACAR BUAH ni adalah resepi turun temurun yg dipelajari dari EMAK dan di permodenkan oleh saya dengan penambahan buah-buahan Jeruk Moden. Tak sama saperti acar-acar biasa yang terdapat dipasaran yang lebih kepada rasa Manis.

Acar ini amat harum dengan rempah-rempah dirsamping Manis-Manis Buah, Masam-Macam Cuka dan Pedas-Pedas Cili Padi.

Sekali menumis, emmm kakak saya sebelah rumah bersuara, 'hang masak apa tu ?  bau sedap sangat.
Jawap saya 'heh heh heh ....Alhamdulillah'.
Dalam hati ... 'Nanti semangkuk akan sampai depan pintu no..'

Jom kita semak RESEPI ...

BAHAN A (Bahan tumis)

1.5 cawan Minyak untuk menumis
5 ulas bawang putih + 5 ulas bawang merah (ditumbuk)
1 sudu besar biji sawi
halia sebesar ibu jari (ditumbuk)

BAHAN B (Rempah tumis, Campur semua sekali)

1/2 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu besar penuh serbuk cili
1/3 sudu besar 'halba sahaja'/ bukan halba campor ya.. (goreng kering dan ditumbuk)
1/2 Sudu Besar Jintan Putih biji (goreng kering dan ditumbuk)
1/2 Sudu Besar Jintan Manis biji (goreng kering dan ditumbuk)
1 sudu besar Rempah biji (goreng kering dan ditumbuk)

BAHAN C

3/4 botol cuka makan
1/2 kilo gula putih atau 3/4 kilo gula merah
Garam

BAHAN D (Buah-buahan)

1/2 Kilo Buah buahan Jeruk campur
3 biji Limau Jeruk (belah 12. Boleh di beli di Kedai Mamak: Limau Acar)
Prune tanpa tiada (* Tak dimasukkan sebab tak dapat cari. Kalau kat KL boleh dibeli di Pasar Chow Kit)
1 kotak Buah Kurma
1 cawan Cili Padi (lebih banyak lebih pedas .. lebih sedap)
15 ulas Bawang Putih (setiap ulas yg belah 2)
15 ulas Bawang Merah (setiap ulas yg belah 2)
1 cawan Kismis
1 paket buah pala (yang bersalut gula atau potongan dari 2 biji)
halia (sebesar 1/2 tapak tangan)

Buah belimbing kering  (* Tak dimasukkan sebab tak ada stok)

* Panaskan air sampai mendidih dan celurkan satu-satu (SEKEJAP sahaja <> 0.5 minit) semua diatas kecuali 'Limau Jeruk dan buah pala'

BAHAN E (Untuk tabur)

3 sudu besar bijan (goreng kering)
2 sudu besar biji sawi (goreng kering)

Cara-Cara Memasak:-

1. Panaskan minyak dalam periuk.
2. Tumiskan  bahan A sehingga garing.
3. Masukkan bahan B, kacau jangan biar hangit dan terus masukkan bahan C.
4. Biarkan sampai mendidih dan sedikit kering (berbuih-buih air gula..)
5. Masukkan bahan D dan akhir sekali bahan E dan digaul sedikit supaya bercampur. (JANGAN dikacau terlalu lama kerana buah akan hancur)
6. Bila mendidih terus padamkan api (Jangan masak terlalu lama kerana buah akan kecut)

* (Pastikan tiada air di gunakan. Air dari buah-buahan akan sendirinya keluar sebagai kuah)

Boleh bertahan ~ 1 tahun jika dimasak dengan betul dan tidak bercampur dengan air.

* Selamat menjamu selera .....

Ahad, 20 Oktober 2013

Soal Jawab mengenai Zakat



ZAKAT HARTA

Q – Bilakah patut saya membayar zakat pendapatan ?

A- Zakat pendapatan dan harta boleh dibayar pada bila-bila masa dalam masa setahun. Walaubagaimanapun, kebanyakan individu menetapkan untuk membayar zakat dalam bulan Ramadhan setiap tahun untuk mendapatkan ganjaran berganda dan supaya individu tersebut tidak lupa !

Zakat juga boleh dibayar secara berkala sepanjang tahun. Contohnya gaji untuk bulan Rejab tahun ini dibayar zakatnya pada Rejab tahun berikutnya, gaji pada bulan Sya’ban tahun ini dibayar zakatnya pada Sya’ban tahun berikutnya, dan seterusnya.

Q – Bolehkan saya membayar zakat sebelum cukup setahun (haul)?

A- Ya, anda boleh membayar zakat sebelum tempoh haul.

Q – Saya menerima sejumlah wang yang agak besar berbanding pendapatan biasa saya pada tahun ini. Bagaimanakah sepatutnya saya mengira tempoh (haul) bagi rezeki tambahan ini ?

A- Terdapat dua cara anda boleh menentukan jumlah zakat anda ke atas rezeki tambahan ini:

i) Anda boleh terus menambah terus rezeki tambahan tersebut kepada jumlah pendapatan tahunan anda. Dengan cara ini anda seolah-olah telah memiliki pendapatan tambahan ini sepanjang tahun. Ini adalah cara yang mudah, praktikal, dan digalakkan.

ii) Anda boleh mempunyai tahun zakat yang berlainan untuk harta tambahan ini. Contohnya jika anda membayar zakat dalam bulan Ramadhan setiap tahun dan menerima rezeki tambahan dalam bulan Zulkaedah pada tahun ini. Maka zakat ke atas rezeki tambahan ini dibayar berasingan pada bulan Zulkaedah tahun berikutnya.

PENGIRAAN

Q – Bagaimanakan cara saya mengira kadar zakat pendapatan ?

 
A- Terdapat tiga cara anda boleh mengira zakat:

i) 2.5% atas jumlah pendapatan kasar setahun (ini adalah yang terbaik dan digalakkan)

ii) 2.5% atas pendapatan setelah ditolak perbelanjaan asas yang dibenarkan oleh badan berkuasa agama (rujuk keterangan di bawah*)

iii) 2.5% atas pendapatan setelah ditolak perbelanjaan tanggungan sebenar

* Perbelanjaan asas (setahun) yang dibenarkan : contoh bagi Negeri Selangor & Pahang – Diri Sendiri RM8,000. Isteri RM3,000. Anak RM1,000 (bagi setiap anak).

Contoh: Anda mempunyai seorang isteri dan dua orang anak di bawah tanggungan. Jumlah gaji anda setelah dicampur pendapatan lain (sewa rumah, elaun, bonus, etc) adalah RM5,000 sebulan. Maka jumlah pendapatan yang dikenakan zakat adalah RM47,000 [ (RM5,000 x 12 bulan) – RM8,000 – RM3,000 – (RM1,000 x2) ]. Maka jumlah zakat yang perlu dibayar adalah RM1,175 ( 2.5% x RM47,000).

Q – Setelah dicampur dengan pendapatan isteri jumlah pendapatan bersama kami adalah RM90,000 setahun. Bolehkan saya membayar zakat untuk pendapatan bersama sekaligus ?

A- Zakat adalah kewajiban individu. Perkiraan mestilah dibuat menurut pendapatan dan perbelanjaan masing-masing. Walaubagaimanapun, anda boleh menunaikan zakat untuk pasangan anda sekiranya dia bersetuju.

Q – Sekiranya saya dan isteri kedua-duanya menanggung anak-anak bagaimanakah cara penolakan untuk perbelanjaan mereka bagi tujuan kiraan zakat ?

A- Perbelanjaan untuk anak-anak akan dibahagikan sama rata antara suami isteri atau mengikut kadar bahagian yang dibelanjakan (proportionate to the expenses borne).

Q – Bolehkah caruman KWSP dan SOCSO ditolak daripada pengiraan pendapatan untuk zakat ?

 
A- Boleh ditolak. Untuk KWSP,wang caruman yang disimpan tidak wajib dizakat kerana belum sempurna milik dan si pencarum tidak dapat menggunakan wang tersebut. Walaubagaimanapun zakat perlu dibayar serta merta apabila dikeluarkan sekiranya cukup nisab untuk apa sahaja tujuan.

Q – Saya sedang melanjutkan pelajaran ke luar negara manakala gaji saya di Malaysia masih berterusan. Adakah saya perlu membayar zakat pendapatan untuk gaji tersebut? Bagaimana dengan elaun pengajian yang diterima di luar negara?

A- Elaun dan gaji, kedua-duanya dikira seperti zakat pendapatan dan dikenakan zakat.

Q – Saya memiliki beberapa rumah sewa. Adakah saya wajib mengeluarkan zakat hasil kutipan sewaan, sedangkan pada masa yang sama saya juga perlu membayar hutang rumah kepada bank semasa pembelian rumah tersebut?

A- Hanya lebihan daripada baki sewa selepas ditolak bayaran balik hutang akan dimasukkan dalam kiraan pendapatan untuk zakat. Contohnya sewa bulanan adalah RM1,000 dan bayaran balik pinjaman adalah RM800. Hanya RM200 baki daripada sewaan perlu dimasukkan dalam pengiraan zakat pendapatan.

SIMPANAN

Q – Saya mempunyai 2 simpanan khusus untuk menunaikan haji dan membeli rumah, dan satu simpanan umum untuk kegunaan luar jangkaan (kontigensi) . Perlukan saya membayar zakat atas simpanan ini ?

 
A- Ya, anda perlu membayar zakat atas kesemua simpanan di atas. Walaubagaimanapun, sekiranya anda menyimpan di Tabung Haji, agensi tersebut akan membayarkan zakat bagi pihak anda. Jadi anda tidak perlu membayar zakat dua kali.

Q – Sekiranya saya telah membayar zakat pendapatan, adakah saya masih wajib membayar zakat atas simpanan saya? Bukankah simpanan tersebut datang daripada sumber yang sama ?

A- Ya, anda masih wajib membayar zakat. Walaubagaimanapun, zakat ke atas simpanan hanya dikenakan bermula daripada tahun kedua dalam simpanan. Jika dikenakan daripada tahun pertama perolehan, seolah-olah mengenakan zakat terhadap harta yang sama dua kali. Walaupun nampak dari sumber yang sama tetapi ia berbeza di dalam pengiraan haul. Secara mudahnya, selepas dibayar zakat pendapatan, jika lebihan pendapatan disimpan dan apabila cukup nisab serta haul ia wajib membayar zakat wang simpanan.

Q – Bagaimanakah mengira zakat wang simpanan?

Bergantung kepada jenis simpanan anda:

Simpanan Tetap : Apabila sesuatu simpanan tetap itu telah genap setahun dan jumlahnya melebihi daripada nisab, maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah wang simpanan tersebut.

Simpanan Biasa : Ianya adalah dikira berdasarkan kepada jumlah baki terendah atau berakhir haul bagi simpanan tersebut.

Sekiranya seseorang individu mempunyai lebih dari satu akaun, maka beliau hendaklah mencampurkan semua baki terendah pada setiap akaun simpanan dan mendarabkannya dengan 2.5% bagi mendapatkan jumlah zakat simpanan beliau.

HUTANG/PINJAMAN

Q – Saya telah meminjamkan sejumlah wang kepada sahabat saya. Perlukan saya memasukkan membayar zakat ke atas pinjaman ini?

A- Pinjaman ini dianggap kurang sempurna milik, kerana ada kemungkinan bahawa peminjam tidak dapat membayar balik pinjaman. Justeru anda hanya perlu membayar zakat apabila telah dipulangkan kembali pinjaman tersebut. Anda hanya perlu membayar zakat untuk setahun wang tersebut dikembalikan.

AGIHAN

Q – Bolehkah saya memberikan zakat kepada ahli keluarga sendiri?

A- Zakat boleh diberikan kepada mana-mana salah satu daripada lapan asnaf zakat (fakir, miskin, amil, muallaf, riqab, gharim, fisabilillah, ibn sabil). Sekiranya ahli keluarga anda termasuk dalam salah satu daripada golongan ini, maka dia layak untuk menerima zakat anda. Malah lebih afdhal (utama) untuk mengutamakan ahli keluarga. Walaubagaimanapun sekiranya dia adalah merupakan tanggungan anda (contoh: ibu/isteri/anak) , maka anda wajib untuk menyara individu tersebut dalam apa jua keadaan, dan tidak boleh memberikan mereka  sumbangan daripada zakat anda.

Q – Bolehkah saya memberikan zakat terus kepada asnaf yang dibenarkan tanpa melalui Amil?

A- Anda boleh memberikan zakat terus kepada asnaf yang lain sekiranya anda mahu. Cuma elok diserahkan kepada amil yang dilantik pemerintah kerana biasanya agihan tersebut akan lebih terancang, seimbang, dan sekata, i.e; badan bertanggungjawab kebiasaannya akan dapat mengenalpasti keperluan yang paling mendesak dengan cara agihan yang paling efektif. Malah sekiranya anda berada di Malaysia dan membayar zakat atas pendapatan, jumlah yang anda bayar untuk zakat adalah merupakan rebate daripada bayaran cukai. Contohnya jika jumlah cukai tahunan anda adalah RM10,000 dan anda telah membayar zakat sebanyak RM3,000, maka anda hanya perlu membayar cukai pendapatan atas baki di atas sebanyak RM7,000. Kebanyakan individu lebih suka membayar zakat daripada cukai pendapatan.

LAIN –LAIN

Q – Bolehkah zakat dibayar jika sumber pendapatan wang tersebut adalah dari sumber haram/syubhah?

 
A- Tidak wajib zakat kerana tidak memenuhi syarat wajib zakat.. Sabda Rasulullah s.a.w: “ Allah tidak menerima sebarang sedekah daripada sumber yang haram” (Riwayat Muslim)

Q – Adakah kewajiban zakat pendapatan sesuatu yang baru di zaman mutakhir ini?
Berdasarkan catatan sejarah, zakat pendapatan telah dikenakan daripada zaman salafus-soleh lagi. Imam Malik dalam kitabnya Al-Muwatta mengatakan bahawa Khalifah Muawiyah mengutip zakat atas pendapatan. Begitu juga pada zaman pemerintahan khalifah Umar bin Abdul Aziz baginda telah pun melaksanakan zakat pendapatan ini ke atas gaji para tenteranya. Malah hampir serupa dengan sekarang, zakat pada zaman beliau dikutip sebelum gaji diserahkan kepada pekerja. Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa tentang zakat pendapatan ini sejak tahun 2002 lagi.


Secara analoginya, zakat pendapatan adalah hampir serupa dengan hasil tanaman yang dituai. Seandainya para petani diwajibkan mengeluarkan zakat mereka sebanyak lima hingga 10 peratus pada setiap kali musim menuai, maka bagaimanakah pula dengan professional yang memperolehi gaji yang kebiasannya lebih besar pada setiap bulan? Logik akal turut juga menyatakan bahawa zakat wajar dikenakan ke atas pendapatan itu.

Q – Saya tidak membayar zakat selama beberapa tahun. Bagaimanakah sepatutnya saya menunaikan tanggungjawab saya?

A- Bagi setiap tahun yang anda tidak membayar sebelum ini, anda perlu membayar 2.5% atas nilai harta dan pendapatan anda pada tahun-tahun tersebut sekarang, dan mintalah pengampunan daripada Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang atas kesilapan lampau. Jika anda kurang ingat atau tidak pasti berapakah jumlah harta dan pendapatan anda pada masa lampau, anda mesti membuat anggaran yang terbaik (best estimate). Contohnya sekarang Ramadhan 2009 dan anda tidak membayar zakat selama 5 tahun yang lepas. Anda perlu menganggar jumlah harta dan pendapatan anda sepanjang 5 tahun yang lepas, dan membayar 2.5% atas jumlah tersebut.

Q – Saya sering menyumbangkan duit saya bagi tujuan kebajikan banyak kali sepanjang tahun. Apakah saya masih perlu membayar zakat?


A- Zakat mesti dibayar dengan niat khusus untuk menunaikan zakat. Sekiranya seseorang individu menyumbangkan wang atas tujuan kebajikan sekalipun masih tidak boleh dikira sebagai zakat, kerana niat ketika diberikan sumbangan tersebut bukanlah untuk menunaikan zakat. Walaubagaimanapun, untuk tahun-tahun berikutnya anda boleh berniat untuk dikira sumbangan ini sebagai zakat.

Rujukan:

1. Fiqh Zakat karangan Sheikh Dr. Yusuf Qaradhawy


2. Laman web Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, Selangor, Kelantan, Terengganu, dan Pahang


3. FAQ – Muslim Hands Website


4. A Brief Guide to Zakat – Islamic Relief Publication


5. Zakat – www.almanhaj.or.id


6. Zakat Pendapatan – Bicaramuslim. com


7. Zakat in Malaysia – Haji Mohamed Dahan, Pusat Pungutan Zakat

BERTANI SATU IBADAH


Allah SWT berfirman yang bermaksud :

”Dia-lah, yang Telah menurunkan air hujan dari langit untuk kamu, sebahagiannya menjadi minuman dan sebahagiannya (menyuburkan) tumbuh-tumbuhan, yang pada (tempat tumbuhnya) kamu menggembalakan ternakmu. Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, korma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkan.” – Surah an-Nahl, ayat 10-11.

Islam telah berkembang dan tersebar secara meluas sekali ke seluruh pelusuk dunia selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW, sehingga menjangkau ke Sepanyol dan Perancis di Barat, dan menjangkau ke China serta Filipina di Timur. Para pendokoong dan pejuang Islam yang membawa tamadun Islam ke tempat-tempat ini, bukan sahaja arif dalam bidang agama, tetapi telahpun menerap dan meneroka pelbagai ilmu baru.

Daripada orang-orang Arab Jahiliyyah, yang cuma tahu menggunakan unta dan kuda untuk merentasi padang pasir, mereka sudah menjadi satu bangsa yang tahu menyeberangi laut dengan menggunakan Celestial Navigaton, tahu mencipta dan menggunakan kompas, memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang astronomi, architecture, berkemampuan mengubati pelbagai jenis penyakit, mempelopori kepakaran dalam bidang pembedahan untuk tujuan oerubatan, menggunakan logam, mencipta ilmu hisab baru termasuk algebra serta bermacam-macam lagi ilmu selepas memeluk agama Islam.

Jelas sekali Islam telah membuka minda dan mata hati masyarakat Arab Jahiliyyah yang memeluk Islam sehingga mereka menjadi bangsa yang bertamadun. Syahadah yang mereka lafazkan menanam pasak keyakinan kepada hari akhirat namun tidak menghalang mereka berusaha bersunguh-sungguh meneroka ilmu dunia. Di dalam banyak-banyak ilmu yang diterokai oleh orang-orang Islam ialah ilmu pertanian. Di dalam ayat, tadi Allah SWT telah menyatakan kuasaNya yang menurunkan hujan dari langit dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dari bumi yang kering kontang sepeti zaitun, kurma dan anggur. Ayat-ayat seperti ini secara tidak langsung merupakan gesaan kepada setiap pembaca al-Quran untuk mengkaji dan menerokai ilmu pertanian.

Di dalam sejarah, inovasi pertanian diperkenal oleh jurutera dan peladang Muslim seperti bentuk baru penyewaan tanah, pembaikan dalam penyaliran, pelbagai kaedah pengairan yang moden, pengenalan baja dan sistem pengaliran yang meluas serta pembangunan sistem penyaliran berasaskan aliran graviti dari sungai dan mata air. Berdasarkan catatan sejarah dan para ilmuwan termasuk dari Barat, sistem pertanian pada era Kerajaan Islam Sepanyol merupakan sistem pertanian yang paling canggih yang pernah disusun oleh kecerdikan manusia. Ini kerana budaya ilmu yang ada di dalam Islam telah menghasilkan banyak perubahan. Pada masa itu, seluruh Eropah sedang bergelut dengan isu perhambaan, namun tanah di bawah kekuasaan Islam mengalami kemajuan pesat di bidang pertanian. Inilah hasil daripada anjuran Rasulullah SAW di dalam sabdanya yang bermaksud :

”Tiada seorang muslim menanam dan bertani maka hasil pertaniannya itu dimakan oleh manusia, binatang dan sebagainya melainkan dia akan menerima ganjaran pahala sedekah” (Hadis riwayat Bukhari)

Di pihak kerajaan, ke arah meningkatkan lagi kesedaran masyarakat agar mendalami ilmu pertanian serta meningkatkan hasil keluaran, kita telah melancarkan visi Kelantan Jelapang Makanan Negara. Visi ini digarap berasaskan cita-cita untuk menjadikan Kelantan akan menjadi pengeluar terbesar makanan di Malaysia. Kerajaan Kelantan dalam menjayakan usaha menjayakan visi ini akan menggerakkan seluruh sektor pertanian untuk lebih agresif dan mampan, memanfaatkan bumi Kelantan untuk memberi sumbangan terbesar dari segi pengeluaran pertanian KDNK di Malaysia.

Justeru, sesuai dengan sasaran Malaysia untuk mengurangkan pergantungan import makanan Kelantan akan berusaha menjadi Jelapang Makanan Negara di dalam membekalkan makanan yang berasaskan pertanian yang halal dan bersih.

Di dalam menjayakan visi ini juga, Kerajaan negeri telah meletakkan sasaran untuk mencapai tahap KDNK sebanyak 3 billion pada tahun 2015. Menurut rekod, pada tahun 2006, pencapaian KDNK sektor pertanian negeri Kelantan ialah sebanyak 1.61 billion manakala pada tahun 2007 pula sebanyak 1.87 billion iaitu meningkat sebanyak 15.3%. Ini melebihi pertumbuhan sektor pertanian di peringkat nasional iaitu hanya 1.4% sahaja. Berasaskan pencapaian ini, saya optimis dengan usaha berterusan dari semua pihak, cita-cita untuk mencapat 3 billion pencapaian KDNK sektor pertanian pada tahun 2015 tidak mustahil menjadi kenyataan.

Slogan Bertani Satu Ibadah yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri merupakan satu gagasan yang dibentuk berasaskan cita-cita murni untuk melihat para petani berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan daya usaha dan pengeluaran. Ini akan dapat dicapai sekiranya golongan petani ditanamkan dengan kefahaman bahawa bertani bukan sahaja menjadi satu punca pendapatan bahkan ia juga merupakan satu ibadah tanda pengabdian kepada Allah SWT. Betapa mulianya kerja seorang petani sehingga disebut oleh Rasulullah SAW di dalam sabdanya yang bermaksud :

”Seorang lelaki daripada ahli syurga memohon kepada Allah SWT untuk bertani, lalu Allah SWT bertanya kepadanya : Bukankah kamu mendapat segala yang kamu hajati? Dia menjawab : Ya, tetapi aku suka untuk bertani. Lalu dia menaburkan benih dan tumbuh dalam sekelip mata, sehingga membesar seperti bukit. Lalu berfirman Allah SWT : Makanlah tanamanmu wahai anak Adam kerana kamu tidak kenyang daripada menikmati nikmat itu..” – Riwayat Bukhari.

Demikianlah mulianya kerjaya seorang petani sehingga diberikan keizinan oleh Allah SWT kepada mereka untuk bertani di dalam syurga. Semoga setiap amalan yang kita lakukan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.